Wednesday, November 3, 2021

PERMAINAN TRADISIONAL CEPER ( PENUTUP BOTOL )

 


CEPER ATAU PENUTUP BOTOL

Permainan penutup botol ini dikenali sebagai 'Ceper'. Permainan ini amat terkenal dalam kalangan kanak-kanak dan remaja pada suatu ketika dahulu dan masih dimainkan hingga sekarang. 

 

Permainan ini amat menyeronokan jika dimainkan bersama rakan-rakan ataupun ahli keluarga. Lebih ramai pemain, lebih seronok permainan ini dimainkan.

 

...Kecuali, jika terdapat pemain yang handal, pasti kita akan berasa bosan kerana menunggu giliran kita tiba, hehehe...


Kebanyakan penutup botol ini boleh diperolehi daripada botol minuman berkaca ataupun botol kicap. Permainan ini hanya memerlukan lima buah penutup botol sahaja seperti gambar di bawah;

 



 


Objektif permainan ini cukup mudah, iaitu mengumpul mata sebanyak yang mungkin dan andalah pemenangnya. Tetapi, untuk bermainnya, kita memerlukan sedikit kemahiran seperti menimbang menggunakan tangan, dan menjentik penutup botol.


Cara-cara untuk bermainnya adalah seperti berikut:

1. Setiap pemain akan menimbang ceper (1 ceper mewakili 2 markah), bagi menentukan giliran. Pemain dengan markah tertinggi akan memulakan permainan terlebih dahulu.


2.             Ceper disusun secara bertindih (menegak), kemudian diputarkan ke udara bagi memastikan ceper tersebut bertebaran seperti gambar di bawah;



3.             Pemain lain akan menentukan arah ceper mana yang akan dijentik oleh kita.


4.             Andai kata ceper yang dijentik oleh kita tidak mengena sasaran atau tersentuh ceper yang lain, maka, giliran kita tamat dan diteruskan dengan pemain yang lain.


5.             Sekiranya kita berjaya menjentik semua ceper yang diarahkan oleh pemain lain, pusingan diteruskan dengan menimbang ceper menggunakan tangan seperti gambar dibawah;



6.             Permainan diteruskan sehingga terdapat pemain yang berjaya mengumpul markah penuh dengan pantas.

7.             Pemain pertama yang berjaya mengumpul markah penuh dinobatkan sebagai pemenang. *markah penuh ditentukan oleh para pemain*

 

INFO TAMBAHAN

 

Ayam

·                  Ceper yang bertindih dua selepas diputarkan ke udara dipanggil ayam. Apabila perkara ini berlaku, pemain lain akan menolong untuk memutarkannya kembali ke udara mengikut tahap putaran iaitu "sederhana(hujan), kuat(ribut) dan sangat kuat(taufan)". Tahap ini ditentukan oleh mana-mana pemain yang menyebutnya terlebih dahulu.

Jamban

·                  Ceper yang bertindih tiga selepas diputarkan ke udara dipanggil jamban. Ceper disusun secara bertingkat iaitu 2 dibawah, 1 di atas. Pemain akan diberi pilihan oleh pemain lain sama ada untuk memilih jamban terbuka atau tertutup. Kemudian pemain akan menjentik ceper berdasarkan arahan pemain lain.

·                  Jamban terbuka - 2 dibawah, 1 di atas tertutup, 1 lagi di atas terbuka.



·                  Jamban tertutup - 2 dibawah, 1 di atas, lebihan ceper sebanyak 2 diletakkan secara bertentangan dengan "jamban".

Pagar

·                  Berlaku apabila terdapat 4 ceper yang bertindih selepas diputarkan ke udara. 4 ceper di susun secara bertindih (melintang). Lebihan ceper sebanyak 1 diletakkan bertentangan dengan "pagar" berdasarkan jarak yang ditentukan oleh pemain lain. Kemudian ceper tersebut perlu dijentik melepasi "pagar" tersebut tanpa menyentuhnya.



Bunga

·                  Berlaku apabila 5 ceper yang diputarkan ke udara bertindih antara satu sama lain. Keadaan ini jarang berlaku, tetapi mudah untuk dilakukan dengan cara memutarkannya ke udara secara perlahan dan rendah. 4 ceper di susun secara sebelah menyebelah membentuk segi empat sama dan 1 di atas. Pemain lain akan menekan ceper di atas dengan kuat agar ceper-ceper tersebut bertebaran. Kemudian pemain menjentik ceper tersebut berdasarkan arahan pemain lain seperti biasa.

 

No comments:

Post a Comment

VIDEO MINI PROJECT KUMPULAN 4 (PERMAINAN TRADISIONAL BATU SEREMBAN)

MINI PROJECT  MPU24011 SUKAN TRADISIONAL  POLITEKNIK MERSING, JOHOR SESI 1 2021/2022 KUMPULAN 4 💛