Layang-layang
Merupakan satu alatan dibina dari lembaran bahan tipis seperti kertas berkerangka yang diterbangkan (atau "dilayangkan") ke udara ditambat dengan tali atau benang yang dipegang di darat. Layang-layang memanfaatkan kekuatan hembusan angin yang bergeser mengelilingi badan layang-layang mewujudkan tekanan rendah di atas badan dan tekanan tinggi di bawah badan; perbezaan tekanan ini memberikan daya angkat kepada layang-layang tersebut. Bentuk layang-layang ini adakala ditambahkan hujung ber"ekor" agar senang mengemudikan layang-layang sambil ia dibawa tiupan angin.
Alat wau atau layang-layang ini sering dimainkan untuk tujuan hiburan pelbagai peringkat umur. Permainan wau juga diadakan untuk pertandingan. Pertandingan yang melihat bentuk kecantikannya diukur dari segi keindahannya kepada bentuk, corak ciptaan, warna, keaslian ciptaan dan ukurannya.)
Perkataan layang-layang digunakan di kebanyakan negeri-negeri seperti di pantai barat dan selatan Semenanjung Malaysia seperti Selangor, Melaka dan Johor. Ini dapat dibuktikan menerusi catatan Tun Seri Lanang yang menyatakan bahawa Raja Ahmad bermain layang-layang bersama pemuda-pemuda serta kerabat DiRaja.
Perkataan “wau” dikatakan berasal daripada perkataan kerajaan Melayu Pattani (Thai) memandangkan negeri seperti Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah menggunakan perkataan tersebut. Nama wau juga dikaitkan dengan bunyi yang terhasil daripada busur yang diikat pada wau; apabila dinaikkan ke udara, daun ibus yang dipasang pada busur tersebut akan menghasilkan bunyi "wau" secara berirama.
JENIS WAU
- Wau barat
- Wau bayan
- Wau bulan
- Wau burung
- Wau ceduk
- Wau daun
- Wau gubah
- Wau gubah kain
- Wau gubah kertas
- Wau helang
- Wau jala budi
- Wau kangkang
- Wau kapal
- Wau katak
- Wau kikik
- Wau kucing
- Wau legu
- Wau lenggang kebayak
- Wau merak
- Wau orang
- Wau pari
- Wau payang
- Wau pepek
- Wau sewah
- Wau sobek
- Layang-layang Melayu
CARA BERMAIN
Pada kebiasaannya wau akan dimainkan oleh dua orang, iaitu seorang juruanjung yang memegang wau dan seorang jurutarik yang memegang tali. Apabila angin bertiup maka tali akan ditarik melawan arus angin dengan cara menghulur dan menarik talinya sehinggalah wau tersebut tinggi di udara. Kilauan cahaya matahari akan menambah cantik lagi wau yang dihias berwarna-warni.
Di masa kini, walaupun wau masih mendapat tempat di kalangan masyarakat Melayu, layang-layang juga tidak kurangnya telah mendapat perhatian oleh masyarakat tempatan dan juga antarabangsa. Pelbagai bentuk dan corak layang-layang telah dicipta, ada layang-layang yang berbentuk orang, kapal berangkai dan ada yang dimainkan dengan menggunakan dua utas tali. Kebanyakkan pertunjukan wau dan layang-layang masih mendapat tempat di Malaysia, terutama ketika hari-hari sambutan perayaan atau pertandingan wau antarabangsa.
LINK VIDEO PERMAINAN WAU :